Jude Bellingham Tak Hirau Kritikan Thomas Tuchel
MakanBola
England

Tonggak tengah England, Jude Bellingham memilih untuk tidak menghiraukan kritikan Thomas Tuchel terhadap prestasi pasukan itu ketika menentang Norway.

Aksi suku akhir Piala Dunia menentang negara Scandinavia itu menyaksikan The Three Lions bergelut menampilkan aksi terbaik mereka. Malah, Norway terlebih dahulu membuka jaringan menerusi Andreas Schjelderup.

Tiket separuh akhir menjadi milik England menerusi dua gol Bellingham pada minit akhir babak pertama dan masa tambahan. Meskipun begitu, Tuchel tidak teragak-agak mengakui kurang berpuas hati dengan aksi pasukan itu.

Hal ini mendorong Bellingham untuk tampil mempertahankan rakan-rakan sepasukannya yang berjuang habis-habisan di atas padang.

“Apa-apa saja. Ia satu perlawanan yang sukar. Semua pemain berjuang habis-habisan (menentang Norway). Setinggi-tinggi penghargaan buat semua pemain yang berjuang di luar sana (untuk menewaskan Norway),” katanya seperti dilaporkan BBC Sport.

Bellingham melihat faktor cuaca bukan saja menguji ketahanan anak buah Tuchel. Malah, Norway dilabel lawan berkualiti kerana dibarisi ramai bintang Liga Perdana Inggeris (EPL).

Bintang Real Madrid itu melihat kelibat figura seperti Martin Odegaard dan Erling Haaland memerlukan para pemain England untuk menampilkan prestasi terbaik demi menjamin tiket separuh akhir.

“Mungkin beliau (Tuchel) tidak tahu apa perasaan bermain dalam keadaan sebegini (cuaca panas) menentang Erling Haaland, Martin Odegaard, Antonio Nusa dan Alexander Sorloth. Mereka bukan pasukan mudah untuk ditentang.

“Saya bagi kredit kepada semua pemain. Anda tak boleh menang setiap perlawanan dengan mengawal bola dan membuat 1,000 hantaran, kadang-kadang anda kena bekerja keras dan itu yang kita lakukan hari ini,” tambahnya.

Meskipun begitu, beberapa legenda England memuji komen jujur yang dibuat Tuchel. Salah seorang daripadanya ialah legenda Newcastle United, Alan Shearer.

“Selama bertahun-tahun, kita mungkin ada orang yang keluar dan berkata bahawa kita bersatu dan kita cukup hebat (dalam perlawanan).

“Anda perlu beri beliau (Tuchel) kredit kerana melakukannya – beliau memilih bersikap jujur,” katanya.

England bakal bertemu juara bertahan, Argentina di peringkat separuh akhir. Seperti England, La Albiceleste juga dipaksa bekerja keras di peringkat suku akhir sebelum menewaskan Switzerland pada masa tambahan.