Ketua jurulatih Korea Selatan, Jurgen Klinsmann memuji lawan mereka di separuh akhir, Jordan yang sudah bertemu kali pertama pada peringkat kumpulan.
Pengendali kelahiran Jerman itu dalam misi besar bersama Taeguk Warriors selepas berjaya memimpin pasukan itu sehingga ke separuh akhir.
Beliau bagaimanapun kini fokus terhadap misi utama pasukan untuk memenangi kejohanan ini tatkala musuh tradisi, Jepun sudah tersingkir.
Klinsmann mahu memastikan anak buahnya tampil dengan persembahan terbaik berdepan Jordan malam ini.
“Saya memperoleh segala-galanya sebagai pemain dan pengurus. Bagi saya, matlamat yang ingin saya capai di Korea amat jelas, apa yang terjadi pada masa lalu tidak penting dalam kehidupan seseorang.”
“Perkara di hadapan adalah paling penting. Ini adalah Piala Asia pertama. Saya bertuah kerana mendapat penghormatan dan pengalaman yang baik. Bagi Republik Korea, adalah penting untuk menyahut cabaran untuk mencapai matlamat yang diingini bersama-sama pemain. Ia akan menjadi perlawanan yang sukar.”
“Akan ada banyak ketegangan dalam aksi ini. Saya mempunyai pengalaman yang menggembirakan di Piala Asia dan saya akan memastikan Korea Selatan akan menunjukkan aksi terbaik untuk mencapai matlamat kami.”
Klinsmann turut memuji Jordan sambil menyifatkan pertembungan dua skuad terbaik ini sudah pasti mengujakan.
“Saya ingin memuji lawan kami iaitu Jordan. Kami bertemu di peringkat kumpulan. Anda boleh lihat betapa sukarnya kumpulan itu. Saya juga ingin memuji jurulatih lawan. Kami membina pasukan yang baik. Perlawanan esok dijangka sukar.”
“Ada matlamat yang kita mahukan. Pasukan kini membuat persediaan dengan baik dan positif. Saya akan tunjukkan kepada anda apa yang telah saya sediakan. Korea Selatan akan mara ke peringkat akhir dan mencapai sasaran yang kami mahukan,” ujar Klinsmann menurut Sports Chosun.
Aksi Korea Selatan dan Jordan bakal berlangsung pada 6 Februari 2024 di Stadium Ahmed bin Ali.