Pengendali skuad kebangsaan China, Aleksandar Jankovic nyata kecewa dengan persembahan anak buahnya pada aksi persahabatan FIFA menentang Malaysia semalam.
Pada hemat beliau, sejujurnya pasukan kendaliannya tidak layak untuk menang atau mengalahkan Malaysia di hadapan lebih 26,000 penyokong yang hadir ke Stadium Phoenix Mountain untuk menyaksikan pasukan kesayangan mereka.
“Sejujurnya kami tidak layak untuk menang malam ini. Peminat menyokong kami sepanjang perlawanan, dan saya berasa kesal kerana kami mengecewakan mereka,” luah Jankovic.
Dalam pada itu Jankovic menganggap perlawanan menentang Malaysia adalah perlawanan yang sukar memandangkan mereka beraksi dengan sangat buruk pada separuh masa pertama perlawanan.
“Ia adalah permainan yang sangat sukar untuk kami. Kami bermain separuh masa pertama yang sangat teruk dari segi organisasi, keseimbangan, tahap tenaga dan kawalan emosi. Kami bernasib baik kerana tidak melepaskan gol kedua dan ketiga,” jelasnya lagi kepada media selepas tamat perlawanan.
China yang berada di ranking ke-80 dunia akan meneruskan aksi persahabatan apabila dijadualkan menentang Syria pada 12 September ini manakala Malaysia akan pulang ke tanah air selepas selesai melalui dua perlawanan persahabatan menentang Syria dan China.