Jurulatih Sepanyol, Luis de la Fuente melabel anak buahnya sebagai contoh pasukan terbaik buat sukan negara itu.
Perkara itu dinyatakan jurulatih berusia 65 tahun itu selepas melihat La Roja muncul juara Piala Dunia 2026. Sepanyol muncul juara dengan mengalahkan juara bertahan, Argentina 1-0.
De la Fuente mengakui merasa bangga melihat barisan pemainnya beraksi secara kolektif dan mempamerkan prestasi terbaik di atas padang.
“Saya bangga dengan generasi pemain bola sepak ini yang telah berkembang dengan idea ini, kekal setia kepada idea ini dan melakukan yang terbaik.
“Mereka contoh (terbaik) sebuah pasukan, kumpulan, keluarga dan sekumpulan pemain hebat yang luar biasa.
“Saya sangat bangga dapat menemani mereka dalam perjalanan ini dapat berada di sana bersama mereka untuk pencapaian ini satu penghormatan,” katanya seperti dilaporkan BBC Sport.
De la Fuente mengakui pasukan itu terpaksa bekerja keras untuk meraih trofi Piala Dunia buat kali kedua dalam sejarah bola sepak Sepanyol.
Pada masa sama, beliau melihat itu sebagai tanda komitmen anak buhanya untuk memastikan misi meraih trofi berkenaan di bumi Amerika Syarikat tercapai.
“Sudah tentu kami ingin memenangi perlawanan lebih awal. Usaha menyelamat Martinez menghalang kami daripada berbuat demikian. Kami cuba dan cuba untuk menjaringkan gol tetapi tidak berjaya.
“Tetapi ini adalah perlawanan akhir Piala Dunia, walaupun menentang sepuluh pemain pada penghujung perlawanan, kami terpaksa bekerja keras. Tetapi kami suka melakukannya dan saya akan katakan sekali lagi, kami bersedia untuk segalanya,” tambahnya.
Tiga pemain Sepanyol turut dipilih untuk anugerah individu. Rodri dipilih sebagai pemain terbaik kejohanan, Unai Simon (penjaga gol terbaik) dan Pau Cubarsi (pemain muda terbaik kejohanan).