Sepanyol Juara Piala Dunia 2026, Kecewakan Argentina
MakanBola
SEFutbol

Sepanyol dinobatkan selaku juara Piala Dunia 2026 selepas menumbangkan juara bertahan, Argentina dalam perlawanan akhir pada awal pagi Isnin.

Takhta juara Piala Dunia 2026 menjadi milik Sepanyol hasil kemenangan cukup bergaya 1-0 ke atas Argentina setelah pertarungan epik selama 120 minit dengan kelibat Ferran Torres muncul wira kepada pasukan La Roja.

Kesebelasan utama yang sama menjadi taruhan Sepanyol dengan Lamine Yamal, Mikel Oyarzabal dan juga Dani Olmo memimpin jentera serangan manakala Lionel Messi menyarung lilitan kapten demi misi besar bersama Argentina.

Perlawanan tampak menyebelahi Sepanyol dengan deretan peluang tanpa henti sepanjang 45 minit pertama namun ketumpulan penyudah serangan membuatkan La Roja kempunan bagi menembusi pintu gawang Argentina.

Peluang terbaik hadir menerusi tandukan bebas Ferran Torres pada separuh masa kedua yang berjaya ditangkap kemas oleh penjaga gawang Argentina, Emiliano Martinez sekali gus mengakhiri 90 minit tanpa sebarang jaringan.

Aksi diheret ke masa tambahan menyaksikan jaringan yang dinanti-nanti akhirnya tiba jua apabila Ferran Torres menyambar tandukan silang oleh Nico Williams untuk menembusi pintu gol Argentina pada minit ke-106.

Aksi berakhir dengan keputusan 1-0 memihak Sepanyol sekali gus mengangkat La Roja sebagai juara Piala Dunia buat kali yang kedua.