Ketua jurulatih skuad kebangsaan Singapura, Takayuki Nishigaya menerima kecaman hebat daripada segelintir penyokong bola sepak Singapura selepas menyaksikan mereka tewas 0-2 kepada Tajikistan dalam perlawanan persahabatan FIFA di Stadium Bishan pada Jumaat.
Selepas dikritik hebat, Nishigaya tetap tenang dan menerima segala kritikan tersebut. Fokus utama Nishigaya ketika ini adalah untuk membawa Singapura melepasi pusingan pertama Kelayakan Piala Dunia menentang Guam pada Oktober depan.
“Saya terima cadangan kalian dan faham semua kritikan tetapi saya akan menghadapi semuanya dan sama sekali tidak akan lari.
“Objektif saya adalah untuk membantu kami melepasi kelayakan bulan depan. Saya sedang berkomunikasi dengan pemain untuk memastikan kami berada di landasan yang sama. Saya cuba yang terbaik untuk pasukan, dan jika ada masalah dengan taktik, saya bertanggungjawab,” jelas Nishigaya seperti dilaporkan TST.
Pada aksi semalam, Singapura yang menduduki ranking ke-158 dunia terpaksa akur dengan kehebatan Tajikistan yang menghuni ranking ke-110 dunia. Dua gol menarik dari Rahimov Muhammadjon dan Hanoov Vahdat sudah cukup untuk mengecewakan Singapura yang beraksi di hadapan lebih 2000 penyokong sendiri.
Singapura bakal meneruskan aksi persahabatan antarabangsa dengan bakal bertemu Chinese Taipei yang berada di ranking ke-153 dunia pada Selasa.