Jurulatih Syria Pilih Percaturan Ganjil Menentang Malaysia

Syria Malaysia 1 Jurulatih Syria Pilih Percaturan Ganjil Menentang Malaysia
Syrian FA
Nik Faris @nikfalovic
9:28am 06/09/2023

Ketua jurulatih Syria membuat keputusan untuk memanggil barisan yang menimbulkan pelbagai tanda tanya dalam kalangan penyokong.

Pasukan ke-94 dunia itu akan menjadi cabaran utama pengendali Malaysia, Kim Pan-gon dalam merencanakan percaturannya.

Perlawanan yang bakal berlangsung di gelanggang neutral itu menyaksikan Malaysia berpeluang untuk memperbaiki kedudukan rangking FIFA.

Perkara yang menjadi tumpuan bagaimanapun terarah kepada pilihan pemain yang dibawa oleh jurulatih Syria, Héctor Cúper.

Hanya seorang sahaja pemain muda berusia 19 tahun yang dipanggil oleh Hector Cuper iaitu pemain pertahanan tengah, Mohammad Othman.

Moayad Ajan (30 tahun), Amro Jenyat (30 tahun), Mahmoud Al-Mawas (30 tahun), Shaher Al-Shakhir (30 tahun), Muayad Al-Khouli (30 tahun), Ibrahim Alma (31 tahun), Mardik Mardikian (31 tahun), Thaer Krouma (33 tahun), Ahmad Madanieh (33 tahun), Omar Al-Somah (34 tahun), Saad Al-Ahmad (34 tahun) dan Taha Mosa (36 tahun) merupakan 12 pemain senior yang masih ditagih oleh Cuper.

Perkara ini mengundang kritikan penyokong Syria selepas beberapa pemain menyerlah tidak dipanggil.

“Dari hari kelayakan Piala Dunia di Rusia, nama tidak berubah. Perancis adalah juara dunia, anda perlu berubah.”

“Terpaksalah kita habiskan, tak ada harapan, tetapi keputusan mesti dibuat untuk menukar 90% pemain, walaupun kita kalah sepuluh perlawanan, tidak ada masalah.”

Ada juga nama-nama pemain yang dianggap berpotensi besar namun tidak dipanggil.

“Mengapa Cascao, Omar Khribin, Ayaz Othman, Houssam Aish dan Mulhem tiada dalam skuad,” jelas Amiral di ruangan komen.

Malaysia akan berdepan Syria pada 6 September 2023 sebelum menentang China pada 9 September 2023 di Stadium Chengdong.