Ketua jurulatih Negeri Sembilan FC, K. Devan tampil mengulas sedikit sebanyak tentang persembahan anak buah kendaliannya ketika aksi menentang pasukan Sabah kelmarin.
Pengendali yang berusia 54 tahun itu dalam satu sidang media selepas perlawanan menjelaskan faktor keletihan menjadi antara salah satu punca para pemainnya kelihatan lesu dan hilang fokus ketika beraksi di atas padang.
“Di separuh masa kedua, peluang yang baik untuk menghasilkan gol itu ada. Akan tetapi mungkin faktor keletihan, kita tak dapat fokus.”
K. Devan dalam pada itu turut menjelaskan bahawa beliau akan melihat semula ulang tayang rakaman jaringan tunggal pasukan Sabah untuk melihat kedudukan penjaga gol Skuad Jang, Syihan Hazmi.
“Saya nak tengok balik video (jaringan pasukan Sabah), kedudukan Syihan dimana. Apabila bola masuk itu, mungkin ada angle atau tiada angle.
“Itulah akibat keletihan fokus mereka sedikit kurang. Overall kita dapat bertahan dengan baik kerana Sabah tiada clear chances untuk menjaringkan gol,” ujar K. Devan.
Skuad Jang kini berada pada landasan yang tepat untuk mencabar kedudukan terbaik dalam saingan liga. Selepas mengharungi 12 perlawanan, NSFC berjaya mengutip 20 mata dengan mencatat 5 kemenangan, 5 seri dan 2 kekalahan.