Persatuan Bolasepak Kelantan (KAFA) menyokong penuh kewujudan pasukan Kelantan Red Warrior (KRW).
Sebelum ini, pihak pengurusan KRW memberi petanda akan kembali menggegar arena bola sepak tempatan tidak lama lagi dengan membawa identiti baharu yang lebih segar.
Oleh itu, kelab yang ditunjangi entiti Gerakan Selamatkan Kelantan (GSK) ini turut mengharapkan dukungan ramai pihak termasuklah para penyokong yang merindui zaman kegemilangan bola sepak negeri itu.
Dalam satu surat yang diterima oleh Presiden KRW, Nik Hafiz Naim Nik Hasan dinyatakan sokongan penuh oleh KAFA yang menghargai usaha pihak kelab untuk kembali mewarnai dunia bola sepak tempatan.
”Sukacita dimaklumkan bahawa KAFA amat menyokong penuh di atas inisiatif yang telah dirancang oleh kelab tuan bagi mengembalikan kegemilangan bolasepak di Kelantan,” ujar KAFA di dalam surat tersebut.
KRW dalam satu kenyataan balas menzahirkan rasa syukur di atas sokongan penuh badan induk negeri itu dan diharapkan hubungan baik ini mampu memberi kebaikan buat bola sepak Kelantan.
“Alhamdulillah syukur, kami di pihak Kelantan Red Warrior (KRW) mengucapkan jutaan terima kasih kepada KAFA (Persatuan Bolasepak Kelantan) kerana menyokong penuh penubuhan kelab ini.”
“Diharap kerjasama dan hubungan baik antara Kelantan Red Warrior (KRW) dan KAFA akan sentiasa terjalin erat untuk kebaikan dan kemajuan bola sepak negeri Kelantan,” umum pihak kelab.
Majlis pelancaran Kelantan Red Warrior FC dijadualkan pada Sabtu, 21 Disember hadapan di Hotel Grand Renai tepat jam 2.50 petang.