Presiden Persatuan Sukan Orang Pekak Malaysia (MSDeaf), Ong Shin Ruenn mengakui terkejut selepas badan induk itu menerima suntikan dana sebanyak RM3 juta.
Suntikan dana ini diumumkan Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh dalam majlis perasmian Kejohanan Sukan Orang Pekak Asia Pasifik (APDG) ke-10 di The Pearl Hotel, Kuala Lumpur.
Shin Rueen memaklumkan ini kali pertama MSDeaf menerima dana sebanyak itu. Atas sebab itu, beliau berterima kasih kepada Hannah kerana prihatin dengan usaha yang digerakkan MSDeaf dalam arena sukan negara.
“Kami sememangnya banyak berterima kasih. Sebenarnya kami tak jangka dapat (dana) RM3 juta pula itu. Kalau kata RM30,000 itu mungkin boleh lagi.
“Tapi RM3 juta (satu) dana yang cukup banyak, kami amat terkejut. Dalam perkembangan sukan orang pekak, ini kali pertama kami mendapat jumlah yang paling tinggi itu,” katanya.
Malaysia menjadi tuan rumah APDG ke-10 menggantikan Iran. Keputusan itu diambil negara Asia Barat itu susulan situasi keselamatan yang tidak menentu di rantau berkenaan.
Shin Rueen percaya dengan suntikan dana dan latihan yang ditempuh atlet negara, Malaysia berpeluang mendapat lima pingat emas. Ini sekaligus mengatasi pencapaian Malaysia yang meraih dua pingat emas untuk APDG edisi 2017.
“Kami akan buat perancangan bermula dari sekarang untuk persiapan atlet ke Bangkok 2025. Dan dengan perkembangan ini dan latihan pusat, lebih banyak pingat kita boleh perolehi.
“Kalau boleh, kita tak dapat dua pingat emas sebelum ini. Kami harap dapat tambah satu lagi dapat tiga pingat emas,” ujarnya.
APDG 2024 menyaksikan penyertaan lebih 1,000 atlet dari 24 negara. Sembilan acara sukan dipertandingkan iaitu badminton, olahraga, bola sepak, judo, taekwondo, catur, boling, ping pong dan gusti.