Peranan kapten pasukan Harimau Malaya kembali menjadi tanda tanya selepas keputusan jurulatih negara, Kim Pan-gon untuk tidak membawa Aidil Zafuan telah membuka peluang untuk rakan sepasukan memakai lilitan tersebut.
Pasukan negara yang dibimbing oleh jurulatih kelahiran Korea Selatan ini masih mengekalkan para pemain senior seperti Farizal Marlias, Safiq Rahim dan juga Syafiq Ahmad.
Ketiga-tiga ini juga merupakan salah seorang calon yang diumumkan oleh Pan-gon sebelum ini ketika Malaysia beraksi pada siri perlawanan persahabatan Tri Nations di Singapura.
Ketika ini, pasukan kebangsaan diketuai oleh Aidil Zafuan dan juga Farizal Marlias ketika merakam kemenangan ke atas Filipina sebelum akur tewas kepada Singapura dengan keputusan 2-1.
Persoalan ini kembali timbul untuk melihat individu yang ditagih khidmatnya untuk mengemudi barisan pemain Harimau Malaya menjelang perlawanan persahabatan menentang Brunei dan Hong Kong hujung bulan ini.
Ini juga amat penting tatkala pasukan kebangsaan sedang melakukan persiapan yang rapi untuk memastikan Malaysia beraksi dengan baik dalam Kelayakan Piala Asia 2023.
Sebelum ini, pengendali berusia 51 tahun itu sudah pun menyatakan secara jelas bahawa Malaysia akan berusaha untuk meraih 7 mata daripada 3 perlawanan yang berlangsung.
Malah, Malaysia juga memiliki kelebihan apabila kesemua perlawanan itu bakal dijalankan di Stadium Nasional Bukit Jalil sekaligus memberi motivasi buat para pemain untuk memberikan yang terbaik.
Selain peranan pemain senior yang jelas memberi impak buat pasukan, aura dan suara oleh kapten pasukan sudah pasti bakal memacu gerakan para pemain untuk terus berjuang bermati-matian.
Malaysia bakal menghadapi Bahrain, Turkmenistan dan juga Bangladesh dalam saingan kumpulan untuk merebur satu daripada 11 slot automatik yang ditawarkan.