Pengendali Selangor, Katsuhito Kinoshi melihat kemenangan ke atas Penang di separuh akhir dan melangkah ke final MFL Challenge Cup adalah keputusan hasil kerja keras pemain.
Pada aksi yang berlangsung di Kelana Jaya itu, pemain sayap lincah, Alvin Fortes muncul wira Selangor dengan gol tunggal pada minit ke-65 untuk membawa The Red Giants ke final.
Menurut Kinoshi, meskipun Selangor hanya memerlukan keputusan seri pada aksi kali ini, namun beliau berpesan kepada pemain agar tetap mencari kemenangan di laman sendiri.
”Ini adalah aksi kedua dan Selangor menang 1-0 sebelum ini, jadi kami tahu jika keputusan berakhir seri, kami layak ke final tapi saya beritahu pemain kita perlu menang,” kata Kinoshi di sidang media.
”Sasaran kami untuk jaringkan 1 gol di babak pertama tetapi kita tahu Penang sangat agresif dan bermain baik, tapi kami berjaya mengimbangi serangan mereka.”
Tambah beliau, di sebalik kemenangan ini, mereka masih memberi ruang buat lawan mengasak dan bernasib baik diselamatkan oleh penjaga gol, tiang dan kekebalan benteng pertahanan.
”Kami juga ada memberi ruang buat Penang mengasak kubu Selangor tetapi Kalamullah (Al-Hafiz) berjaya menafikan dan bernasib baik (ada yang) terkena tiang selain turut dihalang pertahanan.”
Walau bagaimanapun, Kinoshi tetap melihat kejayaan dicapai oleh Selangor pada Ahad ini sebagai satu hasil positif dari kerja keras pemain-pemain dalam menahan asakan pasukan lawan.
”Tetapi ini juga adalah keputusan di atas segala usaha keras kami menurut saya, mereka (pemain) tidak pernah berputus asa mencabar bola tinggi dan gelecekkan pihak lawan,” ujar Kinoshi.
Menanti Selangor di final MFL Challenge Cup nanti adalah PDRM yang menyingkirkan Kedah menerusi penentuan sepakan penalti setelah terikat seri 4-4 secara agregat.