Kementerian Belia dan Sukan (KBS) belum mempunyai sebarang rancangan untuk membida hak tuan rumah Sukan Asia 2038.
Perkara ini dinyatakan oleh Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh selepas Majlis Ramah Mesra Bersama Pengamal Media 2024 di Kelab Golf Negara Subang, Petaling Jaya baru-baru ini.
Hannah memaklumkan pembangunan bakat atlet terutama atlet muda menjadi fokus utama kementerian ketika ini.
Atas sebab itu, setiap dana yang diperuntukkan KBS disasarkan sampai ke semua pemegang taruh terlibat bagi menjamin lebih ramai bakat baru mewakili negara di pentas antarabangsa.
“Tiada guna kita menjadi tuan rumah tetapi atlet kita tidak menang apa-apa. Itu bukan hasrat rakyat Malaysia.
“Sebab itu, bila kerajaan buat keputusan untuk menolak menjadi tuan rumah Sukan Komanwel 2026 ramai netizen yang menyokong keputusan ini.
“Jadi, wang yang diperuntukkan lebih baik digunakan untuk pembangunan bakat,” katanya seperti yang dilaporkan Berita Harian.
Sebelum ini, beberapa pihak menyarankan kerajaan agar memberi fokus kepada bidaan hak tuan rumah Sukan Asia 2038.
Ini kerana mereka melihat bidaan hak tuan rumah temasya berkenaan lebih baik dan bersesuaian dengan aspirasi bergelar tuan rumah temasya sukan berprestasi tinggi.