Kementerian Belia dan Sukan (KBS) menggesa Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) melaksanakan reformasi menyeluruh.
Perkara ini dinyatakan Menteri Belia dan Sukan, Dr. Mohammed Taufiq Johari apabila mengulas kejatuhan ranking Malaysia sebanyak 14 anak tangga baru-baru ini.
Perubahan ranking terbaru Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) menyaksikan Malaysia menduduki tangga ke-135 berbanding kedudukan ke-121.
Taufiq mengakui turut merasa kecewa dengan apa yang berlaku. Justeru, beliau melihat semua pihak harus mengambil iktibar atas apa yang berlaku.
“Saya turut merasai kekecewaan rakyat Malaysia, khususnya peminat bola sepak tempatan berhubung penurunan ranking ini, serta kontroversi yang melanda skuad kebangsaan sejak beberapa bulan lalu.”
“Semua pihak harus mengambil iktibar daripada perkara ini dan pemerkasaan bola sepak tanah air perlu terus diperhebat,” ujar beliau menurut kenyataan rasmi dikeluarkan KBS.
“Saya berharap langkah-langkah wajar akan diambil agar perkara seumpama ini tidak berulang lagi di masa akan datang,” katanya dalam satu kenyataan.
Taufiq turut mendedahkan KBS terus mengadakan sesi libat urus berkala dengan badan induk bola sepak negara itu.
Ini termasuk mengetahui strategi FAM dalam mendepani pelbagai isu yang timbul termasuk kejatuhan ranking skuad bola sepak senior negara.
“Pada masa sama, KBS akan terus mengadakan sesi libat urus berkala dengan pihak FAM untuk mendapatkan maklum balas tentang strategi mereka bagi mengelakkan kejatuhan ranking yang lebih lanjut, lebih-lebih lagi setelah perubahan dalam sistem ranking FIFA, di mana kedudukan dikemas kini secara langsung dengan setiap perlawanan antarabangsa, berbanding pengumuman mengikut tempoh tertentu sebelum ini.”
“Saya juga berharap semua pihak dapat memberi ruang kepada FAM, dengan bantuan AFC, untuk mengenal pasti dan seterusnya melaksanakan reformasi dalaman yang perlu, serta mengadakan kongres bagi memilih barisan kepimpinannya yang baru,” ujarnya.
Taufiq turut memaklumkan KBS memantau kepatuhan pengurusan FAM terhadap peruntukan perlembagaan dan Akta Pembangunan Sukan (Akta 576) menerusi Pejabat Pesuruhjaya Sukan.