Advertisement
KBS Lancar Kod Sukan Selamat, Optimis Wujudkan Ekosistem Sukan Kondusif
UltraSukan
UltraSukan
Faris/UltraSukan

Kementerian Belia dan Sukan (KBS) merasmikan Seminar Kod Sukan Selamat di Institut Sukan Negara (ISN) hari ini.

Perasmian seminar tersebut dibuat oleh Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh. Majlis turut disaksikan oleh Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Adam Adli Abdul Halim, Pengerusi Lembaga ISN, Datuk Marina Chin dan Dr. Faridah Awang, Pengarah Institut Sosial Malaysia.

Hannah melihat kewujudan kod ini bukan saja mampu mencegah salah laku terutama gangguan seksual dalam kalangan penggiat sukan.

Malah, ini akan mewujudkan ekosistem sukan yang kondusif dan membantu penggiat sukan untuk lebih cemerlang dalam mana-mana disiplin sukan selepas ini.

“Untuk mewujudkan ekosistem sukan yang kondusif, KBS telah melancarkan Kod Sukan Selamat (Safe Sport Code) pada 15 Mac 2023.

“Secara tidak langsung kod ini akan menyokong kewujudan Akta Antigangguan Seksual (Akta 840). Kod ini merupakan garis panduan dan rujukan kepada semua komuniti sukan mengenai skop sukan selamat dan tanggungjawab komuniti sukan secara jelas dan menyeluruh,” katanya hari ini.

Bagi memastikan perkara ini dapat direalisasikan sehingga ke peringkat akar umbi, Kod Sukan Selamat akan diperluaskan sehingga ke peringkat sekolah.

“Mulai tahun ini, KBS akan memastikan pelaksanaan Kod Sukan Selamat ini diperluaskan ke peringkat akar umbi termasuk di sekolah-sekolah dalam usaha mewujudkan persekitaran sukan yang selamat dan harmoni selaras dengan rukun Kesejahteraan yang merupakan salah satu tonggak yang terkandung dalam Malaysia Madani,” ujarnya.

Kod Sukan Selamat dilihat manifestasi Hannah dan KBS dalam merealisasikan persekitaran sukan yang selamat untuk semua.