Biarpun Terengganu FC berjaya menewaskan Selangor FC pada separuh akhir pertama Piala FA tempoh hari, namun kebersihan tempat duduk segelintir penyokong Terengganu mencetuskan kebimbangan.
Selepas perlawanan tamat, telah tular satu video di laman sosial yang memaparkan keadaan tempat duduk penyokong Terengganu di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin (SSMZA).
Dalam video yang berdurasi 24 saat itu, kelihatan banyak sampah yang berselerak seperti plastik kuaci, botol kosong dan cawan yang telah digunakan. Tindakan negatif segelintir penyokong Terengganu ini memberikan persepsi buruk buat pasukan tuan rumah.
Sebelum ini, Bahagian Infrastruktur Dan Kemudahan, Majlis Sukan Negeri Terengganu telah menghebahkan bahawa lambakan kulit kuaci merupakan punca utama saluran air stadium menjadi tersumbat.
Pengurusan SSMZA turut memaklumkan sebelum ini bahawa semua bentuk penjualan kuaci di stadium diharamkan bagi mengelak kejadian saluran air tersumbat berulang lagi.
“Jangkaan sampah kali ini adalah lebih 3 kali ganda daripada perlawanan biasa. Semoga kakitangan MSNT terus bersemangat di lapangan dan dapat menyelesaikan kerja-kerja kebersihan ini secepat mungkin,” kongsi Bahagian Infrastruktur Dan Kemudahan, Majlis Sukan Negeri Terengganu di Facebook.
Terengganu akan membuat perhitungan sekali lagi dengan Selangor pada aksi separuh akhir kedua Piala FA di Stadium MBPJ yang dijadualkan berlangsung pada 3 Ogos depan.