Sri Pahang FC perlu berterima kasih kepada penjaga gol mereka, Izham Tarmizi Roslan kerana masih berpeluang memburu slot separuh akhir Piala Malaysia 2023.
Izham yang diturunkan dalam aksi suku akhir pertama KL City FC-Sri Pahang semalam cemerlang menafikan serangan demi serangan yang dilakukan tuan rumah.
Biarpun akhirnya dibolosi menerusi sepakan penalti Romel Morales, itu langsung tidak mengurangkan sedikit pun sumbangan beliau kepada pasukan. Bagi Izham, itu tidak akan berlaku tanpa sokongan daripada rakan-rakan sepasukan di barisan pertahanan.
“Ini (berlaku) atas support (sokongan) team (pasukan) in training (dalam latihan) (dan) dalam situasi game (perlawanan) yang kita tunggu macam ini.
“Tapi yang penting kerjasama semua pihak tak kira siapa-siapa yang main sekalipun. Pada seorang goalkeeper (penjaga gol), beliau hanya tunggu masa untuk perform (beraksi).
“Ada ruang untuk dia bermain, dia akan beri 100%. Tak kira saya ke atau sesiapa ke, kita akan ambil peluang itu dengan baik,” katanya kepada Nadi Arena.
Sri Pahang berharap dapat bangkit dalam aksi suku akhir kedua di Kuantan pada 24 September. Pemenang bakal berdepan pemenang perlawanan Selangor FC-Terengganu FC di pentas separuh akhir.