Ramai penyokong Kedah teruja dengan satu perkongsian pemilik mereka, Tan Sri Dr Mohd Daud Bakar di laman media sosial semalam. Ini kerana bakal rakan kongsi perniagaannya itu merupakan penaja utama kelab Liga Pro Arab Saudi, Al-Nassr.
Pendedahan ini dibuat dalam satu mesyuarat perniagaan dengan CEO Sunk Value, sebuah syarikat yang berminat membentuk kerjasama perkongsian dengan beliau.
Sebaik selesai membicarakan pelbagai isu kerjasama kedua-dua pihak, Daud kemudiannya bertanya siapa pemilik syarikat. Walaupun nama pemiliknya tidak didedahkan, pendedahan bahawa pemilik Sunk Value merupakan penaja kelab Al-Nassr membuatkan pemilik Kedah itu teruja.
“Ada lagi yang lebih mempersonakan. Saya tanya CEO (dalam bahasa Arab); ‘Siapa pemilik syarikat ini?’
“‘Beliau adalah penaja utama Al -Nassr FC,’ jawabnya. Saya macam tak percaya. Kelab ini ada (Cristiano) Ronaldo. Akai saya semakin panjang. Tak payah cerita kat sini. Alhamdulillah, satu peluang dan ruang yang baik kepada KDA FC,” tulisnya di akaun media sosial beliau.
Daud turut mendedahkan dalam perkongsian sama, beliau turut menerima jemputan pertemuan dengan pemilik dan pengurusan Paris Saint-Germain pada 18 dan 19 Mac ini. Selain mesyuarat bersama pihak pengurusan, beliau juga berpeluang menonton perlawanan Ligue 1 PSG menentang Rennes pada malam Ahad (awal pagi 20 Mac).
Walaupun belum membuat sebarang keputusan tentang jemputan itu, Daud menganggap ini sebagai satu rezeki yang tidak diduga. Ini kerana sebelum ini, beliau dan rakan-rakan kongsinya cuba berhubung dengan kelab sejak beberapa bulan lepas tetapi tidak berhasil.
Sejak perkongsian ini disiarkan di media sosial, ramai penyokong Kedah teruja dengan kemungkinan kerjasama Kedah dengan penaja kelab Arab Saudi itu. Malah, ada yang sudah berangan mahu melihat kelibat Ronaldo beraksi di Stadium Darul Aman dalam perlawanan persahabatan Al-Nassr menentang Kenari.