Kedah Impi Miliki Stadium Sendiri

Facebook Dr Mohd Daud Bakar Shariah Minds Minda Syariah 1 Kedah Impi Miliki Stadium Sendiri
Dr Mohd Daud Bakar – Shariah Minds – Minda Syariah
Azim Noor @mohdazim45
7:04pm 16/03/2023

Ramai penyokong Kedah tertarik dengan satu perkongsian yang dibuat oleh pemilik pasukan mereka, Tan Sri Dr Mohd Daud Bakar hari ini. Perkongsiannya berkenaan Stadium Lusail di Qatar seolah-oleh memberi petunjuk kelab ingin mempunyai stadium sendiri seperti mana Johor Darul Ta’zim (JDT).

Dalam satu hantaran videonya di Facebook rasmi kelab, Daud amat teruja melihat reka bentuk Stadium Lusail terutama warna kuning keemasan. Ini kerana warna tersebut mirip dengan warna kuning yang digunakan pada jersi Kedah musim ini.

Daud melihat dengan melawat stadium berkenaan, ia diharap dapat memberi aura dan inspirasi kepadanya untuk maju dalam sesebuah perjuangan. Ia seolah-olah memberi gambaran perancangan besar beliau untuk skuad Kenari termasuk memiliki stadium sendiri.

“Alhamdulillah, saya rasa teruja dapat melihat (Stadium Lusail) dari jarak yang dekat walaupun sebenarnya nak datang melihat perlawanan terakhir itu (final Piala Dunia 2022) tetapi tak diizinkan Allah s.w.t.

“Hari ini pun cukuplah untuk datang berhampiran dengan stadium untuk mengambil auranya, mengambil semangatnya, mengambil falsafah bahawa perjuangan itu bermula dengan mimpi. Kita mimpi kecil-kecil dulu, jalan sikit-sikit, kita bina, kita bina sehinggalah menjadi stadium yang cantik, yang rupawan, yang menarik dan memberi inspirasi kepada pemain dan kelab bola sepak di dunia.

“Inilah bola sepak, ia imej kepada sebuah negara, ia imej kepada sebuah pasukan dan juga wajah kepada negara Malaysia yang kita hargai,” katanya.

Impian ini nampak besar tetapi tidak mustahil. Ini kerana dengan memiliki stadium sendiri, ia sebenarnya membantu Kedah meningkatkan pendapatan mereka terutama pada hari perlawanan.

Ketika ini, satu-satunya pasukan Liga Super yang mempunyai stadium sendiri ialah JDT menerusi Stadium Sultan Ibrahim (SSI). SSI dibina dengan kos RM200 juta dan dirasmikan pada Februari 2020.