Selepas menarik perhatian penyokong dengan jersi home yang diinspirasikan daripada Stadium Shah Alam, kini Selangor menampilkan pula jersi away mereka hari ini.
Menampilkan warna hijau hutan, warna tersebut dipilih bagi melambangkan keberanian perajurit negara yang berjuang di perbatasan. Selain itu, warna hijau juga merupakan warna rasmi DYTM Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah ibni Sultan Sharafuddin Idris Shah.
Sementara warna merah pada bahagian kolar dan lengan baju pula diinspirasikan daripada warna Red Beret. Ia sebagai perlambangan penglibatan baginda dalam 10 Briged (Para) Tentera Darat.
Manakala warna kuning yang digunakan untuk warna font, lambang dan jenama jersi pula melambangkan kedaulatan insitusi diraja.
Jersi away Gergasi Merah turut mempunyai lambang bulan dan bintang serta moto ‘Pantang Maut Sebelum Ajal’. Lambang bulan dan bintang berwarna merah dan hijau diinspirasikan daripada bendera rasmi DYTM Raja Muda Selangor.
Sementara moto ‘Pantang Maut Sebelum Ajal’ pula merupakan kata-kata semangat 10 Briged (Para) Tentera Darat yang bermaksud tidak akan menyerah kalah.
Sejak dimuatnaik di laman media sosial rasmi Selangor, ramai penyokong teruja dengan imej segar dan menarik jersi berkenaan. Justeru, ramai berharap ia dapat diterjemah dalam bentuk kejayaan di atas padang.
Penyokong Selangor berpeluang melihat jersi ini buat kali pertama dalam perlawanan kedua Liga Super membabitkan Merah Kuning dan Kuching City di Kuching pada 2 Mac ini.