Bekas pemain tengah Johor Darul Ta’zim (JDT), Iker Undabarrena memilih Korea Selatan sebagai destinasi baharunya.
Ini selepas Incheon United mengumumkan pemain tengah berusia 30 tahun itu sebagai tonggak import baharu mereka.
Perpindahan ini turut menamatkan desas-desus destinasi Undabarrena selepas meninggalkan Harimau Selatan pada Oktober lalu.
“Saya gembira berada di Incheon. Saya sukakannya,” katanya dalam satu hantaran yang dikongsikan Incheon United.
Bekas pemain tengah CD Leganes itu turut berkongsi berita perpindahan itu menerusi satu hantaran di Instagram.
Selepas perpindahan itu disahkan, ramai bekas rakan sepasukan dan jurulatih JDT mengucapkan selamat berjaya kepada beliau.
Antara yang berbuat demikian ialah Alvaro Gonzalez, Angel Acena Rodriguez, Christian Abad dan Park Jun-heong.
Selain Undabarrena, Incheon United turut memiliki khidmat Gerso, Modou Barrow, Stefan Mugosa dan Shota Saijo sebagai tonggak import.