Kelantan ‘Cabar’ Reputasi Selangor & JDT
MakanBola
Kelantan Red Warrior FC

Kelantan Red Warriors FC berada pada kedudukan terbaik untuk merebut kejuaraan dari Selangor dan Johor Darul Ta’zim (JDT).

Skuad kendalian Irfan Bakti Abu Salim kini melonjak ke tangga ketiga saingan Liga A1 Semi Pro 2025-26 selepas berakhirnya Hari Perlawanan 19.

Kelantan dilihat mencipta momentum luar biasa selepas menewaskan Kedah Darul Aman FA  2-1 untuk merekodkan kemenangan ke-10 musim ini.

Kelantan The Red Warrior FC kini menduduki tangga ketiga saingan dengan 35 mata, hanya terpisah satu mata sahaja dengan pasukan tangga kedua, Johor Darul Ta’zim ll.

Namun begitu, usaha untuk mencabar kedudukan Selangor FC ll masih lagi terbuka selepas hanya dipisahkan dengan empat mata sahaja berbaki 12 perlawanan musim ini.

Prestasi memberangsangkan Kelantan dibantu oleh aksi cemerlang pasukan terutamanya pemain import seperti Emmanuel Mbarga.

Tonggak berusia 27 tahun itu merekodkan 20 jaringan dalam 18 penampilan musim ini sekali gus menjadi nadi utama jentera serangan pasukan.

Barisan pertahanan Kelantan RW juga ampuh selepas hanya dibolosi sebanyak 10 kali dalam 18 perlawanan, berjaya merekodkan lima perlawanan tanpa bolos daripada enam aksi terakhir liga. 

Perlawanan seterusnya menyaksikan Kelantan RW akan berdepan UM Damansara United pada 3 Januari 2026 di Arena UM, Kuala Lumpur jam 4.45 petang.