Terengganu FC berharap dapat menghapuskan badi bila turun menentang Selangor FC dalam aksi terbaru Liga Super.
Ini kerana berdasarkan rekod empat pertemuan terakhir mereka, Terengganu tewas dalam semua perlawanan yang dinyatakan.
Ini termasuk kekalahan 5-2 di tangan The Red Giants pada 27 Ogos 2025 di Stadium MBPJ. Penjaring terbanyak liga, Chrigor Moraes meledakkan hatrik dalam aksi tersebut.
Dua lagi gol Selangor disumbang Alvin Fortes dan Aliff Izwan Yuslan. Peteh membalas menerusi gol Gabriel Silva dan Junior Sam.
Kali terakhir Terengganu menewaskan Selangor dalam liga ialah 17 Ogos 2022. Peteh yang ketika itu dibimbing Nafuzi Zain menewaskan The Red Giants 2-0.
Dua tonggak import, Habib Haroon dan Manuel Ott masing-masing mencetak nama sebagai penjaring dalam perlawanan itu.
Terengganu bukan saja berharap dapat memanfaatkan kelebihan beraksi di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin (SSMZA) untuk meraih tiga mata.
Malah, pasukan itu berharap dapat memanfaatkan bisa penyerang Curacao, Gervane Kastaneer. Penyerang berusia 29 tahun itu menyertai Terengganu baru-baru ini selepas meninggalkan Persis Solo.