Kelantan City Umum Barisan Baharu
MakanBola

Kelantan City FC mengumumkan barisan baharu pasukan itu bagi menghadapi kempen Liga A1 Semi-Pro musim 2026/27.

Susulan pengambilalihan pasukan Kelantan WTS FC oleh barisan pemain Kelantan Treble 12, barisan baharu diumumkan termasuk barisan kejurulatihan pasukan.

Bekas pengurus Kelantan, Azman Ibrahim memikul tugas sebagai ketua delegasi pasukan. Bekas presiden kelab, Wan Mohd Ridhuan Abdullah pula memikul tugas sebagai pengurus pasukan.

Barisan kejurulatihan pula menyaksikan ramai legenda Kelantan diserap sebagai staf kejurulatihan. Daudsu Jamaludin memikul tugas sebagai jurulatih kecergasan.

Farisham Ismail, Zairul Fitree Ishak dan bekas jurulatih Kelantan WTS, Kamaruddin Muhamad masing-masing bertugas sebagai penolong jurulatih dan penolong ketua jurulatih.

Shahrizan Ismail pula menggalas peranan sebagai jurulatih penjaga gol. Kapten skuad Treble 12, Badhri Radzi pula bertugas sebagai pegawai pasukan.

Kelantan City turut mengambil langkah merekrut bekas jurulatih Lamphun Warriors, Wanderley Machado da Silva Junior sebagai ketua jurulatih baharu.

Wanderley sudah mula bertugas secara rasmi sejak 9 Jun lalu. Beliau juga mengikuti rapat perkembangan pasukan dengan menilai prestasi pemain-pemain Kelantan City FC yang beraksi dalam kejohanan Wanchai Cup Thailand 2026.

Kelantan City percaya gabungan pengalaman figura bola sepak berpengalaman, bekas pemain era kegemilangan Kelantan serta tenaga profesional dalam pelbagai bidang mampu menjadikan kelab lebih berdaya saing.