Advertisement
Kelantan DN Tagih Kudrat Pemain Tempatan
Liga Super
MakanBola
Kelantan Darul Naim FC

Pembantu jurulatih Kelantan DN, Rezal Zambery Yahya akui terpaksa menaruh harapan kepada kudrat pemain-pemain tempatan dalam mengharungi baki aksi Liga Super musim ini.

Setelah berdepan musim yang sukar dalam saingan Liga Super, Kelantan DN juga terpaksa akur tersingkir awal di kempen MFL Challenge Cup apabila tewas kepada Selangor.

Lebih memeritkan apabila beberapa pemain tonggak memilih untuk meninggalkan pasukan seperti Aung Kaung Mann dan Oday Kharoub yang berhijrah ke kelab Thailand dan Libya.

Selain itu, dua lagi pemain import, Washington Brandao dan Michal Jerabek dijangka mengambil langkah yang sama jika tiada perbincangan mendalam bersama pihak pengurusan.

Ini sekaligus memberi tamparan hebat buat skuad kendalian Park Jae-hong bagi saingan Liga Malaysia ketika ini dengan kudrat pemain tempatan bakal ditagih untuk aksi mendatang.

Menurut Rezal, tenaga pemain-pemain lokal bakal menjadi taruhan untuk perlawanan selepas ini seperti mana ketika aksi bertemu Selangor dalam saingan MFL Challenge Cup.

“Sebelum ini kami (Kelantan DN) pernah melalui saingan MFL Challenge Cup dengan pemain tempatan.”

“Jadi, saya lihat perkara ini akan berterusan tetapi komitmen pemain sangat bagus.” kata Rezal menurut Stadium Astro.

Walaupun dihimpit pelbagai isu, Rezal berharap para pemain memanfaatkan peluang untuk buktikan kemampuan apabila turun beraksi dan meminta pihak pengurusan mengambil tindakan segera.

“Perkara yang penting pemain perlu fikirkan karier mereka, ada peluang bermain dan beraksi dengan bersungguh-sungguh,”

“Dengan kemampuan, saya rasa akan memberikan peluang buat mereka di masa akan datang sambil mengharapkan pihak pengurusan menyelesaikan isu ini,”

Selepas ini, Kelantan DN akan berdepan ujian Perak pada 26 Januari ini di Stadium Manjung dalam saingan Liga Super