Menjelan aksi Liga Super bertemu Negeri Sembilan, Kelantan DN bakal kembali diperkuat 2 bintang import Oday Kharoub dan Michal Jerabek.
Ketiadaan Kharoub dan Jerabek ketika Kelantan DN bertemu Johor Darul Ta’zim (JDT) Ahad lalu telah meninggalkan tanda tanya dalam kalangan peminat setia skuad Kijang Emas.
Tugas Jerabek di benteng pertahanan digalas pemain muda, Umeir Aznan sementara Syahir Rashid menggantikan tempat Oday untuk berganding bersama Mior Dani di jentera tengah.
Walau bagaimanapun, menurut Rezal Zambry, kedua-dua pemain ini tidak diturunkan bagi mengelakkan layangan kad yang mengakibatkan penggantungan pada aksi berdepan Negeri Sembilan.
“Hasil perbincangan dengan ketua jurulatih, kami kena simpan Oday (Kharoub) dan (Michal) Jerabek kerana mereka sudah (mengutip) kad kuning,” ujar Rezal selaku pembantu jurulatih.
“Selepas ini, kami lawan Negeri Sembilan. Jadi kami beri peluang pada gandingan pemain baru serta import.”
Dalam aksi tersebut, hatrik daripada Bergson Da Silva selain dua gol Arif Aiman serta jaringan sendiri membuatkan Kelantan kempunan untuk melakar kejutan ke atas juara bertahan itu.
Kelantan DN yang kini berada di tangga tercorot liga bakal berkunjung ke Paroi untuk berdepan Negeri Sembilan pada Jumaat manakala JDT menanti kehadiran Kuching City.