Kelantan Red Warrior Dapat 3 Berita Gembira Serentak
MakanBola
Kelantan Red Warrior FC

Kelantan Red Warrior FC (KRW FC) mendapat tiga berita gembira serentak.

Salah satu berita gembira yang diterima pasukan itu ialah permohonan pasukan itu ke Liga Super kini menunggu lampu hijau Malaysian Football League (MFL).

Presiden Kelantan RW, Datuk Muhammad Zaki Harun memaklumkan sekiranya semua proses berjalan lancar, pasukan itu akan membawa nama negeri Cik Siti Wan Kembang itu dalam Liga Super musim 2026/27.

“Kita mengucapkan terima kasih banyak-banyak kepada MFL dan FAM (Persatuan Bola Sepak Malaysia) yang telah melihat keupayaan kita untuk naik pangkat (ke Liga Super) dan seumpamanya,” katanya kepada wartawan Astro Arena, Zulhelmi Zainal Azam.

“Apa pun, kita masih menunggu pengumuman daripada pihak yang berkenaan. KRW telah buat persediaan ke arah itu, sudah tentu walaupun dengan pelbagai masalah yang ada tetapi kita cuba atasi.

“Saya pun baru sekejap tadi berjumpa dengan Setiausaha Agung FAM (Datuk Noor Azman Rahman) tentang beberapa perkara dan nampaknya positif. Dan kepada peminat-peminat KRW, khasnya di Kelantan kan, berilah peluang kepada kami dan kita akan buat yang terbaik dari segi persediaan Insya Allah.”

Zaki turut mengesahkan jurulatih Kelantan RW, Irfan Bakti Haji Salim akan kekal membimbing pasukan itu. Beliau juga mengesahkan ayam tambatan pasukan itu, Emmanuel Mbarga masih kekal komited bersama pasukan Pantai Timur itu.

“Saya ada berhubung dengan dia (Mbarga). Dia pun sudah kembali ke Malaysia. Ya, sudah tentulah kita tak boleh menyekat mana-mana pemain (daripada berpindah) kerana itu merupakan kemajuan untuk karier dia.

“Cuma dia selesa bersama kita, dia akan kekal bersama kita. Dan Insya Allah setakat ini, Mbarga masih bersama dan saya harap kekal begitulah hingga bermulanya musim 2026/27,” tambahnya.

Kelantan RW antara empat pasukan Liga A1 yang berjaya mendapat Lesen Kebangsaan Luar Biasa daripada First Instance Body (FIB). Selain pasukan Pantai Timur itu, UM Damansara juga dilaporkan satu lagi calon berpotensi ke Liga Super.