Kelantan RW Enggan Jadi Mangsa Belasahan
MakanBola
Kelantan Red Warrior FC

Pengendali Kelantan Red Warrior FC (KRW FC), Irfan Bakti Abu Salim berharap anak buahnya mampu bersaing dalam Liga Super apabila saingan liga membuka tirai pada 21 Ogos ini.

Irfan melihat saingan Liga Super jauh lebih sukar berbanding saingan Liga A1 Semi-Pro. Ini kerana liga itu lebih berkualiti dan menuntut para pemain lebih bersedia dari segi fizikal dan mental.

Meskipun begitu, Irfan percaya anak buahnya sudah bersedia untuk memberi saingan dan berharap pasukan itu mampu memperoleh keputusan positif apabila liga bermula.

“Sudah tentu saya gembira kerana akhirnya dapat membawa pasukan ini ke pentas Liga Super walaupun dalam masa sama gundah-gulana juga untuk mempersiapkan pemain-pemain yang ada setakat ini sahaja.

“Tapi apa pun, pemain memang sedar bahawa beraksi di Liga Super ini memang tak sama dengan Liga A1 dan akan jadi lagi susah kalau tiada persediaan yang bagus untuk beraksi di pentas tertinggi ini.

“Saya kalau boleh tidak mahulah kalau pasukan ini sampai jadi kelab belasahan sebab kita juga ingin beri persaingan dan saya percaya usaha dan kerja keras akan membuahkan hasil,” katanya.

Salah satu aspek yang dititikberatkan Irfan ialah aspek kecergasan. Beliau melihat aspek itu sebagai kunci jika mereka mahu memberi cabaran hebat dalam Liga Super.

“Cuma kita pun sedar dalam pasukan ini mungkin tiada pemain yang nama-nama besar dan saya tetap berpesan kepada mereka yang kecergasan adalah aspek utama yang kena pegang dan usaha kena 3 kali ganda daripada Liga A1,” ujarnya.

Kelantan RW melengkapkan senarai 12 pasukan yang akan beraksi dalam Liga Super musim 2026/27. Pasukan Pantai Timur itu mengambil alih slot yang ditinggalkan PDRM FC yang memilih menarik diri atas sebab penstrukturan semula pasukan.

Kelantan RW menjadi pilihan Malaysian Football League (MFL) kerana lebih bersedia terutama dari segi kriteria kewangan berbanding tiga pasukan Liga A1 lain yang mendapat Lesen Kebangsaan Luar Biasa.

Anak buah Irfan akan membuka kempen liga dengan menentang Selangor FC pada 21 Ogos ini.