Kelantan Red Warrior FC (KRW FC) memasang sasaran melepasi pusingan 16 Piala Malaysia 2025/26.
Hasrat itu dizahirkan jurulatih berpengalaman, Irfan Bakti selepas pasukan itu layak ke kejohanan berprestij itu.
Kelantan RW dipilih sebagai pengganti Kedah FA untuk saingan Piala Malaysia. Ini selepas pasukan itu dan Armed Forces FC menarik diri daripada saingan berkenaan.
Ini bermakna cabaran pasukan Liga A1 Semi-Pro dalam Piala Malaysia bakal digalas Kelantan RW, Perak FA dan UM Damansara.
Irfan mengakui gembira melihat pasukan Pantai Timur itu layak beraksi dalam kejohanan berprestij itu.
Meskipun sedar bukan mudah beraksi dengan seorang pemain import, Kelantan RW akan berusaha memberi saingan terbaik dalam Piala Malaysia.
“Sudah tentu Kelantan RW gembira apabila diberi kesempatan beraksi dalam kempen Piala Malaysia.
“Walaupun hanya beraksi dengan seorang pemain import, kami tetap komited untuk mempertingkatkan prestasi dan berada pada tahap terbaik agar mampu bersaing dengan pasukan-pasukan Liga Super.
“Sasaran kami ialah melepasi pusingan 16 terbaik Piala Malaysia,” katanya.
Cabutan undi membabitkan 16 pasukan bakal diadakan pada 2 Januari ini.