Kelantan RW Mohon Bantuan AFC
MakanBola
Kelantan Red Warrior FC

Jurulatih Kelantan Red Warrior FC (KRW FC), Irfan Bakti Abu Salim memaklumkan pasukan itu telah mendapatkan bantuan Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) berhubung sekatan perpindahan Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA).

Perkara ini didedahkan beliau dalam sidang media pascaperlawanan aksi pertama pusingan 16 Piala FA antara Kelantan RW dan Kuching City FC baru-baru ini.

Irfan memaklumkan sekatan perpindahan yang dihadapi pasukan Pantai Timur itu berpunca daripada pengurusan yang terdahulu. Justeru, beliau memohon jasa baik AFC untuk membantu Kelantan RW bebas daripada sekatan berkenaan.

“Saya sendiri telah menghantar surat kepada AFC meminta pertolongan untuk selesaikan isu pendaftaran pemain. Kesian kepada pemain sedia ada kerana terpaksa bersaing dengan pasukan lain yang ada tujuh hingga sembilan pemain import.

“Setakat ini belum menunjukkan apa-apa keputusan positif daripada FIFA, jadi saya rayu belas ihsan AFC untuk membantu kami menyelesaikan isu ini,” katanya seperti dilaporkan TVS.

Irfan turut berharap FIFA memberi kelonggaran kepada Kelantan RW untuk mendaftarkan pemain. Ini disebabkan tetingkap perpindahan pertama Liga Malaysia (Liga M) dibuka sehingga 3 September ini.

“Pelbagai usaha telah dilakukan pihak pengurusan bagi menyelesaikan masalah ini, kami amat memerlukan pemain import di posisi pertahanan, tengah dan penyerang untuk memberi saingan kepada pasukan lain,” tambahnya.

Aksi pertama pusingan 16 Piala FA di Stadium Sultan Muhammad IV (SSMIV) menyaksikan Kuching City diikat tanpa jaringan oleh tuan rumah. Lebih menarik, Kelantan RW bangkit dengan mempamerkan aksi lebih mantap selepas dibelasah 5-0 oleh lawan sama baru-baru ini.

Irfan mengakui berpuas hati dengan prestasi yang ditampilkan anak buahnya meskipun berdepan The Cats yang menurunkan ramai tonggak import dalam aksi sama.

“Anak buah saya menunjukkan satu persembahan yang positif kerana baru sahaja tiga hari lepas mereka kalah kepada Kuching City FC dengan keputusan 5-0 pada saingan Liga Super,” ujarnya.

Kelantan RW kini mengalihkan fokus untuk aksi liga menentang Kuala Lumpur City FC (KL City FC) pada 4 September ini.