Kelantan RW Sasar Tonggak Import Afrika & Eropah
MakanBola
Kelantan Red Warrior FC

Pengurusan Kelantan Red Warrior FC (KRW FC) dijangka mendapatkan tonggak import dari Afrika dan Eropah bagi membantu pasukan itu mengharungi kempen Liga A1 Semi-Pro.

Perkara ini dikongsikan Presiden Kelantan RW, Nik Hafiz Naim Nik Hassan apabila ditanya perkembangan terbaru pasukan itu.

Nik Hafiz memaklumkan pengurusan pasukan itu sedang menunggu kelulusan daripada Amateur Football League (AFL) berkenaan status penyertaan mereka dalam Liga A1 Semi-Pro.

Sekiranya permohonan mereka berjalan lancar, pasukan itu tidak menolak menggunakan khidmat tiga tonggak import bagi mengharungi kempen liga berkenaan.

“Kita difahamkan dalam taklimat (Liga A1 Semi-Pro), kita boleh ambil tiga (pemain) import bawah umur.

“Coach Irfan (Bakti Abu Salim) pun sudah beritahu, jadi kita akan penuhilah tiga import. Kita sekarang fokus kepada dua benua iaitu satu dari Eropah dan satu lagi dari Afrika,” katanya kepada wartawan Astro Arena, Fadhirul Shuhaimi.

Nik Hafiz turut memaklumkan persiapan pasukan kini sudah mencapai 80%. Kebanyakan pemain yang direkrut ialah pemain yang berasal dari Kelantan dan memiliki pengalaman beraksi dalam Liga Malaysia (Liga M).