Kelantan Red Warrior FC (KRW FC) memaklumkan telah menghantar dokumen kepada Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) berhubung sekatan perpindahan yang dihadapi pasukan itu.
Perkara ini dikongsikan presiden kelab berkenaan, Datuk Muhamad Zaki Harun apabila ditanya tentang isu berkenaan.
Zaki memaklumkan pasukan Pantai Timur itu berada di pihak yang betul. Ini kerana beliau percaya hal ini ada kaitan dengan kesilapan teknikal membabitkan aduan kes lama.
Zaki turut mengingatkan bahawa Kelantan RW dan Kelantan FC merupakan dua entiti yang berbeza.
“Kekeliruan timbul disebabkan masalah kelab lalu, yang sama sekali tidak ada kena mengena dengan kelab ketika ini. FIFA ada alasannya juga, kami tidak boleh menolak sepenuhnya.
“Kami kena menjelaskan keadaan itu, kami telah serahkan dokumen bahawa kami tiada kena mengena dengan kelab terdahulu dan kelab itu masih wujud. Mungkin di peringkat awal dahulu oleh kerana kami ingin meneruskan perjalanan kelab — di peringkat itu hanya seorang sahaja yang membuat tuntutan — kami bayar (tuntutan itu).
“Pembayaran itu bukan bermakna kami bersalah, tapi kami bayar kerana nak meneruskan perjuangan,” katanya seperti dilaporkan Stadium Astro.
Zaki turut memaklumkan sekiranya sekatan perpindahan FIFA ditarik balik, pasukan itu mengintai beberapa pemain bagi memperkuatkan cabaran menghadapi musim 2026/27.
Kelantan RW menjadi pasukan ke-12 Liga Super untuk musim 2026/27 selepas memenuhi semua syarat yang telah dikemukakan First Instance Body (FIB).