Kelayakan Piala Asia 2023: Malaysia Layak Ke Piala Asia Selepas Tewaskan Bangladesh
Dunia
Khairul / MakanBola
Advertisements

Impian skuad Harimau Malaya untuk mengakhiri badi 42 tahun layak secara merit ke pentas Piala Asia akhirnya tercapai apabila pasukan negara berjaya menewaskan Bangladesh 4-1 di Stadium Nasional Bukit Jalil sebentar tadi.

Perlawanan bermula dengan cukup agresif apabila banyak percubaan berbahaya dari Malaysia ke gawang gol Bangladesh terhasil.

Kesilapan pemain pertahanan Bangladesh yang menerjah penyerang pasukan pada minit ke-14 mengundang padah apabila Malaysia dihadiahkan sepakan penalti yang mudah disempurnakan Safawi Rasid untuk gol kemenangan pertama Harimau Malaya.

Advertisements

Anak buah Kim Pan-gon seakan terus bersemangat untuk memperoleh jaringan apabila asakan bertali-arus seringkali memerangkap lawan.

Bagaimanapun, pada minit ke-30 permainan Bangladesh mengejutkan pasukan kebangsaan apabila mendapat ruang untuk mencipta gol daripada penyerangnya, Ibrahim menerusi tandukan sekaligus mengikat kedudukan 1-1.

Selang 7 minit kemudian, Malaysia memanfaatkan peluang menggandakan kelebihan jaringan hasil rembatan dalam kotak penalti oleh Dion Cools sekaligus menewaskan penjaga gol pihak lawan. Gol ini juga merupakan gol pertama buat Dion Cools sepanjang beliau menyarung jersi Harimau Malaya.

Advertisements

Tidak sampai dua minit babak kedua permainan berlangsung, Harimau Malaya sekali lagi ‘mengaum’ di gawang lawan apabila Syafiq Ahmad menghadiahkan gol ketiga menerusi hantaran kemas Faisal Halim.

Skuad kebangsaan mempamerkan aksi cemerlang dengan mendominasi permainan sepenuhnya dengan hantaran bola dan serangan berintensiti tinggi.

Impak daripada 3 pertukaran yang dilakukan oleh Kim Pan-gon pada pertengahan minit permainan telah meletakkan pasukan negara selesa di hadapan apabila Darren Lok yang baru dibawa masuk ke padang berjaya menjaringkan gol yang keempat hasil daripada hantaran baik Akhyar Rashid.

Advertisements

Tiga masa tambahan yang diberi tidak mampu mengubah keputusan perlawanan. Kemenangan bermakna ini sekaligus melayakkan anak didik Kim Pan-gon ke Piala Asia 2023. Keputusan tamat, Malaysia 4-1 Bangladesh.

Weekly Contest & Free Gift

Join us on Telegram today.

Join Telegram