Kelayakan Piala Asia U23: Singapura Cipta Kejutan Ikat Vietnam

Singapura u23 1 Kelayakan Piala Asia U23: Singapura Cipta Kejutan Ikat Vietnam
FA Singapore
Nabil Fahmi @nabilfamy
10:15pm 12/09/2023

Hasrat Singapura untuk mencipta kejutan dalam aksi menentang Vietnam dalam Kelayakan Piala Asia U23 menjadi kenyataan apabila mereka berjaya mengikat tuan rumah dengan keputusan 2-2 dalam perlawanan yang berlangsung di Stadium Viet Tri sebentar tadi.

Walaupun sudah melayakkan diri ke Piala Asia U23 2024, ianya bukanlah tiket untuk pemain Vietnam beraksi sambil lewa menentang Singapura. Vietnam memulakan perlawanan dengan kawalan bola secara menyeluruh.

Manakala barisan pemain Singapura dilihat cepat kehilangan bola sehingga membahayakan pintu gol mereka yang dikawal Aizil Yazid.

Vietnam akhirnya berada di hadapan seawal minit ke-13 apabila mereka dihadiahkan sepakan penalti selepas Bui Vi Hao dikasari. Nguyen Dinh Bac yang mengambil sepakan itu tidak menghadapi masalah untuk menjadikan kedudukan 1-0 memihak Vietnam.

Vietnam terus mengasak ke kubu Singapura namun kecekapan Aizil Yazid menggagalkan usaha Vietnam untuk menambah jaringan. Untuk 30 minit pertama, Singapura gagal mengawal permainan dengan perlawanan lebih terarah kepada kawalan bola dikalangan pemain Vietnam.

Kedudukan 1-0 itu kekal sehingga tamat separuh masa pertama.

Separuh masa kedua dimulakan dengan perubahan drastik dilakukan oleh pengendali Vietnam, Philippe Troussier yang membuat tiga pertukaran serentak.

Dalam kesibukan Vietnam melancarkan serangan, Singapura akhirnya berjaya menyamakan kedudukan pada minit ke-59 melalui jaringan sendiri pemain Vietnam, Nguyen Hong Phuc hasil daripada sepakan sudut Singapura.

Tersentak dengan jaringan penyamaan Singapura, Vietnam terus melancarkan serangan. Hasilnya mereka berjaya menyamakan kedudukan pada minit ke-77 hasil rembatan deras Nguyen Huu Nam yang sama sekali menewaskan Aizil Yazid.

Kedudukan 2-1 itu hanya bertahan 5 minit sahaja apabila Singapura sekali lagi berjaya menyamakan kedudukan. Kali ini ini gol dijaringkan oleh Chua Vasileios pada minit ke-85 yang menyudahkan gerakan serangan balas pantas dari rakan sepasukan untuk kedudukan terikat 2-2.

Selepas gol penyamaan terhasil, Singapura lebih fokus bertahan dan membiarkan pemain Vietnam melancarkan serangan bertali arus. Tiada jaringan tambahan dapat dihasilkan dan kedudukan 2-2 itu kekal sehingga wisel penamat ditiupkan.

Dengan keputusan seri ini, Singapura terpaksa mengucapkan selamat tinggal kepada kejohanan Piala Asia U23 tahun hadapan. Manakala keputusan seri yang dicatatkan Vietnam, tidak akan mengubah apa-apa buat pasukan itu yang telah layak terlebih awal.