Advertisement
Nizaruddin Yusof: Kelekaan Kalamullah Al-Hafiz Rugikan Kedah
Piala Malaysia
MakanBola
Kedah Darul Aman FC

Bekas penyerang Harimau Malaya, Nizaruddin Yusof menyifatkan kelekaan penjaga gol Kedah Darul Aman FC (KDA FC), Kalamullah Al-Hafiz Mat Rowi menyumbang kepada gol kemenangan Perak FC dalam aksi kedua pusingan 16 pasukan terbaik Piala Malaysia semalam.

Beliau percaya perkara ini berlaku kerana Kedah menguasai bola terlampau lama terutama semasa menyerang. Keadaan ini menyebabkan Kalamullah tidak banyak bergerak dan menerima bola.

Justeru, apabila skuad Seladang dianugerahkan sepakan percuma pada minit ke-84, bekas penjaga gol PJ City FC itu menyangka dapat membuat tangkapan rutin.

Namun begitu, perkara sebaliknya berlaku dengan bola terlepas daripada tangan Kalamullah. Peluang mudah itu segera ditolak ke dalam gawang oleh Seo Seun-ung menerusi hidungnya pada minit ke-88.

“Adakah sebab Kedah menguasai bola terlalu lama dengan Kalamullah tidak banyak bergerak? And then (Dan kemudian), pasukan Perak dapat set piece (sepakan percuma), kesilapan (berlaku).

“Mungkin ada sikit gangguan kepada Kalamullah (dari segi) fokus dia kepada permainan. Kita boleh nampak tiga minit tadi pasukan Kedah all the way (mendominasi), hantar bola cuba cari ruang untuk menjaringkan gol.

“Jadi saya rasalah Kalamullah mungkin quite (sedikit) leka dan tidak fokus 100%. Sebab saya rasa itu kesilapan yang boleh dielakkan sebab tangkapan dia mungkin tidak kemas. Itu yang membolehkan Perak menjaringkan gol,” katanya semasa menjadi panel perlawanan Kedah-Perak di Astro Arena semalam.

Kini, satu-satunya peluang Sang Kenari meraih trofi musim ini ialah Piala Cabaran, kejohanan baru yang diperkenalkan MFL musim ini.