Kelibat bekas pemain Kedah Darul Aman FC B (KDA FC B), Alfi Rasid kembali dikesan selepas satu musim berjuang bersama skuad Sang Kenari di Piala MFL musim lalu.
Alfi yang juga adik kepada bintang Terengganu FC, Safawi Rasid kini sah mewakili PDRM FC U23 yang beraksi dalam saingan Piala MFL.
Pemain berusia 23 tahun itu telah diturunkan dalam dua perlawanan bersama PDRM U23 dalam Piala MFL serta membantu pasukannya mencatatkan satu kemenangan setakat ini.
Pada musim lalu, kelibat Alfi jarang kelihatan bersama KDA FC B dan hanya diturunkan dalam satu perlawanan sahaja sepanjang musim.
Aksi terkini Alfi dalam Piala MFL adalah ketika PDRM U23 akur dengan kekalahan besar 0-4 kepada tuan rumah, Terengganu FC II di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah pada semalam.
Dengan merekodkan dua aksi setakat ini, Alfi dijangka akan terus merekodkan minit permainan bersama PDRM U23 yang kini di bawah kendalian Azmi Mohamed.