Keceriaan kelab divisyen dua Vietnam, Quang Nam Youth yang meraih kemenangan 5-0 ke atas lawan mereka, Hai Nam diragut semalam. Ini selepas bas yang dinaiki pasukan itu mengalami kemalangan dengan seorang pemain dilaporkan terbunuh dan tujuh lagi dilaporkan cedera.
Menurut laporan TheThao247, bas tersebut sedang membawa para pemain,staf dan penyokong pulang semasa melalui kawasan Genting Vi O Lak.
Kawasan tersebut merupakan sempadan yang memisahkan daerah Kon Plung, wilayah Kon Tum dengan Ba To, wilayah Quang Ngai. Saksi melaporkan bas berkenaan tidak dapat membrek semasa melalui genting berkenaan sebelum terbalik.
Seorang pemain yang dilaporkan terbunuh ialah Vo Minh Hieu. Sementara tujuh lagi cedera termasuk dua dilaporkan mengalami kecederaan parah.
Berita kemalangan ini mengejutkan ramai penggiat bola sepak Vietnam termasuk Persekutuan Bola Sepak Vietnam (VFF). Sebaik mendapat tahu berita berkenaan, Presiden VFF, Tran Quoc Tuan segera menghantar ucapan takziah kepada semua yang terlibat termasuk keluarga Minh Hieu.
“Bagi pihak Jawatankuasa Eksekutif Persekutuan Bola Sepak Vietnam, saya ingin mengucapkan rasa simpati dan takziah kepada semua keluarga mangsa kemalangan ini.
“Semoga keluarga pemain yang meninggal dunia (Minh Hieu) dapat mengatasi detik-detik trauma ini. Semoga pemain-pemain yang cedera dan penyokong dapat pulih dan kembali semula ke arena bola sepak,” katanya.