Pemain tengah pasukan Selangor FC, Mukhairi Ajmal terus mempamerkan kebolehan beliau untuk menjadi salah seorang prospek masa depan negara menerusi persembahan cemerlang dalam dua siri persahabatan menentang Jordan dan Uzekistan.
Sungguhpun baru berusia 19 tahun, kesungguhan anak kelahiran Pahang ini untuk terus mempamerkan rentak cemerlang bersama pasukan Selangor berjaya dikekalkan ketika menentang lawan yang jauh lebih hebat.
Perancang muda berbakat ini menjadi pemain gantian dalam kedua-dua perlawanan tersebut mendapat pujian rata-rata penyokong yang menyaksikan perlawanan tersebut.
Walaupun pasukan negara tewas dalam kedua-dua perlawanan itu, namun kemasukan pemain ini nyata memberi nafas baru untuk merencana gerakan pasukan untuk memburu jaringan.
Bekas prospek muda PKNP FC ini dilihat cukup selesa mengawal bola di kaki, selain berani untuk membawa bola masuk ke kawasan lawan memberi sinar buat pasukan untuk menjaringkan gol.
Teknik yang dimiliki oleh Mukhairi telah menjadi aset terbaik buatnya untuk melakukan hantaran-hantaran berkualiti buat barisan serangan negara.
Beliau juga rajin untuk turun membantu barisan pertahanan dalam usaha untuk mengekang asakan bertali arus yang dilancarkan bagi memperoleh gol.
Baru-baru ini, kapten pasukan Selangor FC, Brendan Gan dilihat memberi respon yang cukup positif mengenai kehadiran Mukhairi ke dalam pasukan kebangsaan.
Ketiadaan beberapa pemain utama di bahagian tengah pasukan telah membuka ruang buatnya beraksi buat pasukan utama Selangor.
Ini juga menggambarkan bahawa pemain ini sudah bersedia untuk menggalas tanggungjawab untuk membarisi kesebelasan utama terutamanya menjelang kejohanan Piala Suzuki AFF Disember ini.