Kedah Darul Aman FC B telah mengejutkan pasukan pelawat Johor Darul Ta’zim II (JDT II) dengan keputusan 2-1 dalam saingan Piala MFL di Stadium Darul Aman semalam.
Penyerang import dari Ghana, Ebenezer Assifuah menjadi wira buat Kedah apabila meledak kedua-dua gol buat Kedah manakala gol saguhati JDT dijaringkan oleh pemain muda berbakat besar mereka, Aysar Hadi.
Namun keindahan perlawanan yang rancak sepanjang 90 minit itu dikahiri dengan satu insiden pergaduhan selepas wisel penamat ditiupkan. Insiden tersebut berlaku selepas insiden rempuhan membabitkan pemain pertahanan JDT, Nafizuddin Fauzi yang merempuh pemain Kedah, Zharmien Ashraf dari belakang.
Pemain Kedah pada ketika itu sedang dalam proses melambat-lambatkan permainan dengan kedudukan sedang memihak mereka 2-1. Selepas insiden rempuhan itu, wisel penamat ditiup dan pergaduhan terus berlaku.
Keadaan riuh itu terpaksa ditenangkan pengadil perlawanan. Kemenangan Kedah itu membawa mereka memintas JDT dan kini menduduki tangga ke-3 Piala MFL Kumpulan A. Manakala JDT jatuh di tangga keempat.