Kepimpinan Baharu FAM Dijangka 3 Bulan Lagi
MakanBola
FA Malaysia

Kepimpinan baharu Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dijangka diketahui tiga bulan lagi.

Setiausaha Agung Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC), Datuk Seri Windsor Paul John memaklumkan proses pemilihan hanya akan diadakan selepas proses penambahbaikan FAM selesai.

Ini kerana pasukan khas AFC diketuai Timbalan Setiausaha Agung AFC, Vahid Kardany memerlukan tempoh tiga bulan untuk membuat penilaian terhadap pentadbiran badan induk itu.

“Kita sudah memberitahu kepada FAM yang kami perlukan lebih kurang tiga bulan untuk menyediakan laporan. Tiga bulan penilaian sebab kami kena datang ke sini dan menilai semua yang berada dalam pentadbiran FAM.

“Selepas itu, laporan akan dibentangkan dan kita akan lihat dalam laporan itu jika ada yang perlu dibawa kepada kongres.

“Perubahan yang perlu dibuat dalam pentadbiran atau ada yang hanya Setiausaha Agung (FAM) sendiri berhubung dengan staf contohnya,” katanya.

Windsor turut melihat tempoh tersebut sebagai tempoh membantu FAM menjadi sebuah organisasi yang lebih sebelum pemilihan baharu diadakan.

““Proses pemilihan (kepimpinan baharu FAM) tetap akan dihormati, itu bukan isu,” ujarnya.

“Namun begitu, sebelum pemilihan kita mahu melakukan semakan organisasi kerana jika mengadakan pemilihan semata-mata disebabkan ahli meletak jawatan, ia tidak bantu FAM menyelesaikan masalah.

“Sebelum pemilihan diadakan, kita juga mahu membentangkan kepada kongres mengenai perkara yang perlu dilakukan untuk menjadikan FAM lebih baik.”

Untuk rekod, barisan Ahli Jawatankuasa Eksekutif (Exco) FAM yang dipilih dalam kongres tahun lalu memegang jawatan kurang daripada 12 bulan sebelum meletak jawatan secara kolektif.

Langkah tersebut bertujuan membantu memulihkan imej bola sepak negara. Susulan itu, Setiausaha Agung FAM, Datuk Noor Azman Hj. Rahman akan mengendalikan tadbir urus badan induk itu sehingga pemilihan baharu diadakan.

Claim Money Packet TnG