Keputusan Pemilihan Pengadil Dari Selangor Bagi Aksi JDT & Terengganu Bersebab
Piala Malaysia
DausJ/MakanBola
Advertisements

Susulan prestasi pengadil R. Logeswaran yang didakwa kurang memberangsangkan semasa mengadili final Piala Malaysia 2023 membabitkan Johor Darul Ta’zim FC (JDT FC) dan Terengganu FC, Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) tampil memberi penjelasan.

Nama Logeswaran dipilih oleh badan induk bola sepak negara itu selepas berdepan kekangan mencari pengadil yang berstatus berkecuali.

Ini kerana Razlan Joffri Ali dan Kamil Zakaria merupakan pengadil kelahiran Terengganu. Sementara seorang lagi pengadil, Tuan Yaasin Tuan Hanafiah pula merupakan pengadil berdaftar di Johor.

Advertisements

Usaid Jamal yang baru bertugas di Melaka pula pernah berdaftar sebagai pengadil di Johor. Sebab-sebab ini yang menghalang mereka dilantik sebagai pengadil berstatus berkecuali.

Dua lagi pengadil iaitu Nazmi Nasaruddin dan Suhaizi Shukri pula tiada kerana mempunyai tugas pengadilan di tempat lain.

Nazmi berada di Arab Saudi untuk tugas pengadilan dengan Suhaizi pula terlibat dengan tugasan pengadilan perlawanan Piala AFC.

Advertisements

Atas semua faktor ini, nama Logeswaran dipilih oleh FAM bagi mengendalikan aksi final Piala Malaysia 2023 di Stadium Nasional Bukit Jalil.

“Berdasarkan situasi tersebut, pemilihan S. Logeswaran dari Selangor telah dilakukan dengan rapi dan mendapat persetujuan Jawatankuasa Pengadil FAM selepas mengambil kira faktor beliau telah menunjukkan prestasi yang sangat baik di sepanjang Liga Malaysia 2023 mengikut laporan penilai pengadil, selain beliau adalah pengadil yang berkecuali.

“Logeswaran juga merupakan antara pengadil senior dalam saingan Liga Malaysia dengan beliau adalah Pengadil Kebangsaan Kategori A,” kata Setiausaha Agung FAM, Datuk Noor Azman Rahman dalam satu kenyataan.

Advertisements

FAM juga telah meneliti beberapa insiden yang menjadi bualan peminat bola sepak pada aksi final tersebut. Hasilnya, penilaian yang dibuat oleh pasukan pengadilan diketuai Logeswaran tepat.

“Bagi insiden sepakan penalti yang diberikan untuk gol pertama Johor Darul Ta’zim pada minit keenam, pengadil berada pada kedudukan yang tepat untuk membuat keputusan dan memang ada sepakan dilakukan oleh pemain Terengganu FC ke atas pemain Johor Darul Ta’zim dan ia juga berlaku dalam kawasan penalti.

“Bagi insiden sepakan penalti untuk gol penyamaan Terengganu FC pada minit ke-21 pula, kesalahan pemain Johor Darul Ta’zim terhadap pemain Terengganu FC telah jelas dilihat dan dibantu oleh Pembantu Pengadil Tambahan 1, sekali gus keputusan pengadil dibuat berdasarkan bantuan daripada Pembantu Pengadil Tambahan 1 dan bukanlah atas desakan dan permintaan daripada pemain-pemain Terengganu FC,” tambahnya.

Advertisements

Aksi final Piala Malaysia 2023 menyaksikan JDT muncul juara selepas meraih kemenangan 3-1 ke atas Terengganu.

Weekly Contest & Free Gift

Join us on Telegram today.

Join Telegram