Tiga permintaan MFL untuk kelonggaran beberapa SOP bagi kelancaran saingan liga musim 2022 telah ditolak kerajaan.
Ketua Pegawai Eksekutif MFL, Stuart Ramalingam menjelaskan kebenaran untuk makan dan minum di dalam stadium masih lagi tidak dibenarkan dan buat masa ini saingan liga akan kekal dengan SOP yang dilaksanakan seperti musim lalu.
“MFL perlu memastikan keselesaan penyokong bagi membolehkan mereka makan dan minum di dalam stadium, tapi buat masa ini tiada kebenaran untuk memberi kelonggaran kepada peraturan ini.”
Tambah Stuart, pertimbangan untuk pemain yang negatif dibenarkan bermain walaupun ada pemain yang positif dalam sesebuah pasukan juga tidak diluluskan. Tambahan jumlah penyokong hadir ke stadium juga tidak dibenarkan ekoran wabak Covid-19 yang terus meningkat ketika ini.
“Kedua, kita meminta juga pertimbangan menggunakan peraturan antarabangsa di mana jika pemain positif kena kuarantin dan yang negatif boleh terus bermain. Kita sudah alami di Piala AFF pun, ada dua individu (pemain) berkongsi bilik tapi yang negatif boleh pergi main dan positif kena kuarantin.”
“Peraturan yang kita cadangkan bukan peraturan yang kita cipta sendiri, tapi peraturan yang dilaksanakan di peringkat antarabangsa. Kita juga mendapat jawapan negatif yang mana kita tidak boleh diberi pertimbangan disebabkan oleh peraturan kerajaan.”
“Permintaan ketiga iaitu tambahan jumlah penyokong ke stadium yang mana ia sebagai pertimbangan selanjutnya jika dua permintaan itu sudah boleh (dibenarkan).”
Bagaimanapun Stuart menjelaskan bahawa MFL akan terus berhubung dengan kerajaan untuk mempertimbangkan kelonggaran beberapa SOP yang telah ditetapkan.
“Tapi kalau dua ini (permintaan awal) tak boleh, yang ketiga ini tak akan lepas. Kita harap ada kelonggaran pada masa akan datang, permintaan ini boleh dipertimbang semula. Jadi buat masa ini kita kekal dengan SOP yang dilaksanakan dalam liga musim lalu,” katanya ketika ditemui Berita Harian selepas majlis perkenalan penaja baharu Liga Super, Luno Malaysia, semalam.
“Nilai tajaan yang kami terima adalah RM1 juta untuk tempoh setahun dengan peluang lanjutan hingga penghujung musim 2023. Terima kasih Luno atas keyakinannya terhadap bola sepak Malaysia,” kata Stuart Ramalingam.