Pemain Kelantan FC, Khalaif Naskam menangis kegembiraan dapat menjaringkan gol buat pasukan dalam aksi pusingan pertama Piala Malaysia 2023.
Pertemuan antara Kelantan dan JDT di Stadium Sultan Muhammad IV berakhir dengan kemenangan milik pasukan pelawat. Meskipun tewas, Kelantan berjaya mencuri satu gol, membolosi gawang JDT menerusi pemain sayap Kelantan, Khalaif Naskam.
Turun sebagai pemain gantian, pemain bawah 23 tahun ini menghangatkan suasana di Stadium Sultan Muhammad IV pada minit ke-84 permainan. Percubaan deras dari luar kotak penalti Khalaif cantik menerjah jaring sekaligus gagal diselamatkan penjaga gol JDT, Farizal Marlias.
Selepas menjaringkan gol, Khalaif dilihat menangis kegembiraan dapat menjaringkan gol berdepan JDT.
“Saya nak ucapkan terima kasih kepada penyokong yang sentiasa datang, kepada jurulatih yang beri saya peluang. Saya gunakan peluang tersebut sebaik mungkin.”
“Ketika dapat bola itu, dalam fikiran saya hanya nak rembat ke gawang, tapi saya tak sangka bola tu masuk,” ujar Khalaif ketika ditemubual wartawan Astro Arena, Zulhelmi Zainal Azam.
Beliau turut gembira dan menzahirkan rasa syukur dalam satu hantaran di Instagram miliknya baru-baru ini.
Untuk rekod, Khalaif merupakan pemain keempat yang berjaya menggegar jaring JDT sepanjang aksi Liga Malaysia musim ini. Gol tunggal buat Kelantan pada aksi tempoh hari bakal menjadi bekalan buat The Red Warrior dalam aksi timbal balik kelak.
JDT sekali lagi bakal berdepan Kelantan untuk aksi timbal balik Piala Malaysia 2023 di Stadium Sultan Ibrahim pada 19 Ogos kelak.