Bek tengah Selangor FC, Khuzaimi Piee menafikan khabar angin beliau bakal meninggalkan pasukan dalam tetingkap perpindahan kedua.
Ini susulan khabar angin bekas bek tengah Negeri Sembilan FC itu akan dipinjamkan ke satu pasukan lain.
“Ini satu kejutan juga. Saya tidak tahu apa-apa tapi cerita ini tiba-tiba keluar. Sekiranya terjadi, saya terima.
“Pihak pengurusan tidak ada cakap apa-apa dan pasukan lain tidak ada yang menghubungi saya.
“Untuk perlawanan akan datang, saya masih lagi bersama Selangor dan itu hanyalah khabar angin sahaja,” katanya kepada Nadi Arena selepas perlawanan Sri Pahang FC-Selangor FC semalam.
Pada masa sama, Khuzaimi bersedia mempertimbang tawaran sekiranya tawaran yang dibuat itu benar-benar wujud.
Sebarang keputusan yang diputuskan pengurusan Red Giants akan dihormati beliau lebih-lebih lagi jika ia membantu karier permainannya.
“Saya perlu menghormati majikan. Sekiranya Selangor memberi pelepasan dipinjamkan ke pasukan lain, saya terima seadanya.
“Mungkin itu satu jalan untuk saya teruskan karier dalam bola sepak. Saya harap tiada apa-apa yang berlaku pada masa ini dan saya masih bersama Selangor,” tambahnya.