Advertisement
Khuzaimi Piee Lihat Perubahan Besar Dalam Skuad Malaysia
Harimau Malaya
MakanBola
FA Malaysia

Bek tengah Selangor FC, Khuzaimi Piee mengakui kagum dengan perubahan yang berlaku kepada skuad kebangsaan Malaysia.

Sejak Harimau Malaya mendapat sentuhan jurulatih Korea Selatan, Kim Pan-gon, skuad negara telah melakar pelbagai pencapaian membanggakan untuk arena bola sepak negara.

Selain pencapaian layak secara merit ke Piala Asia 2023, Harimau Malaya turut merekodkan tujuh kemenangan, dua seri dan satu kalah dalam 10 perlawanan tahun 2023.

Ini satu pencapaian hebat lebih-lebih selepas Malaysia mengatasi lawan berkaliber seperti Turkmenistan, India dan Kyrgyzstan.

Khuzaimi percaya dengan kemajuan yang ditunjukkan Harimau Malaya ketika ini, tidak mustahil skuad negara mampu melakar kejutan dalam Piala Asia 2023.

“Apa yang saya lihat ialah banyak kemajuan yang diberi para pemain. Dan saya harap untuk (Piala) Asia nanti, kami semua akan cuba bagi apa yang kami semua ada untuk perbaiki semua kesilapan yang dilakukan dalam perlawanan-perlawanan sebelum ini,” katanya dalam sidang media hari ini.

Khuzaimi merupakan sebahagian daripada sembilan pertahanan yang dipanggil dalam skuad kali ini.

Selain beliau, Sharul Nazeem Zulpakar, Dion Cools, Corbin Ong, Matthew Davies, Syahmi Safari, Dominic Tan, Daniel Ting dan Junior Eldstal turut dipanggil Pan-gon.

Malaysia memulakan kempen Piala Asia 2023 dalam Kumpulan E dengan menentang Jordan pada awal pagi 16 Januari 2024.