Khuzaimi Piee Nadi Keampuhan Jentera Pertahanan Harimau Malaya
Dunia
FA Malaysia
Advertisements

Pertahanan kental Harimau Malaya, Khuzaimi Pie konsisten menampilkan persembahan memukau dalam siri perlawanan persahabatan antara pasukan Malaysia dan Brunei pada semalam. Khuzaimi berjaya membantu pasukan Malaysia meraih kemenangan di Stadium Nasional Bukit Jalil dengan keputusan 4-0.

Khuzaimi yang diberi mandat untuk turun dalam kesebelasan utama pasukan telah membalas kepercayaan pengendali skuad kebangsaan, Kim Pan-gon. Tatkala diturunkan bersama Junior Eldstal dan Dion Cools, anak jati Melaka ini dilihat tenang mengawal benteng pertahanan negara dan tidak gugup ketika menerima serta menghantar bola kepada rakan sepasukan. 

Selain kebal menyekat setiap asakan dan serangan pihak lawan, kelibat Khuzaimi yang beberapa kali naik ke atas membantu bahagian serangan turut menjadi bualan peminat bola sepak tempatan. Ramai dalam kalangan peminat setia Harimau Malaya yang memberi reaksi dan tanggapan positif tentang prestasi semasa pemain yang berusia 28 tahun itu.

Advertisements

Sepanjang babak pertama perlawanan semalam, Khuzaimi turut membentuk gandingan sempurna bersama Ruventhiran dan Faisal Halim di bahagian kiri padang. Keserasian tiga pemain ini amat memberangsangkan apabila banyak kali serangan skuad negara semalam bermula dan direncanakan daripada bahagian kiri.

Khuzaimi turut menjadi pencetus kepada gol ketiga perlawanan apabila hantaran sempurna beliau telah membuka ruang buat Akhyar menggelecek masuk ke dalam kotak penalti pasukan lawan yang sekaligus memaksa pertahanan Brunei melakukan kekasaran. Peluang penalti itu mudah disempurnakan penyerang kebangsaan, Guilherme De Paula.

Konsistensi yang dipamerkan Khuzaimi Pie pastinya terus menjadi nadi keampuhan skuad Kim Pan-gon menjelang pentas Kelayakan Piala Asia kelak. Khidmat Khuzaimi semestinya akan terus ditagih perlawanan mendatang buat kem Harimau Malaya.

Advertisements
Weekly Contest & Free Gift

Join us on Telegram today.

Join Telegram