Kim Pan-gon Bimbang Ancaman 3 Tonggak Star City
MakanBola
Star City FC

Jurulatih Selangor FC, Kim Pan-gon percaya tiga tonggak Star City FC dilihat ancaman kepada anak buahnya untuk merekodkan keputusan positif dalam aksi suku akhir pertama Piala FA.

Pandangan itu dinyatakan bekas jurulatih Harimau Malaya apabila ditanya tentang kekuatan pasukan yang berpangkalan di utara tanaha air itu.

Pan-gon melihat tiga tonggak Star City iaitu Pedro Henrique, Moses Atede dan Douglas Oliveira berpotensi menggugat peluang Selangor membawa bekalan untuk aksi kedua di Petaling Jaya.

“Lebih kuat daripada saya sangka. Saya fikir tonggak utama mereka semuanya pemain import dan mereka memiliki penyerang berpengalaman.

“(Pemain) nombor 10 (Pedro Henrique) ialah pemain berpengalaman dan berjaya dalam liga Vietnam. Dan kita juga tahu tentang Moses (Atede), pemain nombor lima dan kita juga kenal Oliveira. Semua pemain yang kuat,” katanya.

Meskipun begitu, Pan-gon tetap yakin dengan keupayaan anak buahnya untuk meraih keputusan positif dalam aksi suku akhir pertama di Kangar, Perlis pada 19 September ini.

Selangor boleh menghela nafas lega kerana Henrique tidak beraksi dalam untuk perlawanan itu. Sebelum ini, jurulatih Star City, Mehmet Durakovic memaklumkan beliau dan Rizal Ghazali dijangka terlepas aksi berkenaan akibat kecederaan serius.

Selangor akan berdepan Star City dalam aksi suku akhir pertama di Kangar terlebih dahulu. Ini disusuli aksi timbal balik di Stadium MBPJ pada 11 Oktober ini.