Pengendali Star City FC, Mehmet Durakovic memaklumkan pasukan itu terpaksa melupakan khidmat dua tonggak akibat kecederaan serius.
Dua tonggak yang dimaksudkan ialah pemain pertahanan, Rizal Ghazali dan penyerang import, Pedro Henrique. Durakovic berkata demikian apabila ditanya tentang status kedua-dua pemain itu selepas aksi menentang Terengganu FC.
Rizal dikeluarkan pada minit ke-18 dengan Anwar Ibrahim masuk sebagai pengganti. Nik Akif Syahiran Nik Mat pula dibawa masuk sebagai pengganti Henrique pada babak kedua.
“Rizal mengalami kecederaan serius. Pedro juga mengalami kecederaan serius. Beberapa pemain juga bermain dengan kecederaan.
“Kita tidak mempunyai skuad yang besar, jadi kita masukkan beberapa pemain muda. Semua orang melakukan tugas yang bagus, saya bangga dengan pemain-pemain saya.
“Saya rasa kasihan dengan mereka kerana mereka berhak mendapat tiga mata pada malam ini,” katanya dalam sidang media pascaperlawanan.
Perlawanan di Kangar, Perlis itu menyaksikan kedua-dua pasukan terikat 1-1. Selepas ketinggalan menerusi gol Douglas Oliveira, Romel Morales muncul wira Terengganu dengan meledakkan gol penyamaan pada babak kedua.
Selepas ini, Star City akan beraksi menentang Selangor FC dalam aksi liga seterusnya pada 31 Oktober ini.