Ketua jurulatih Harimau Malaya, Kim Pan-gon ada sebab tersendiri mengapa beliau memilih lawan yang berada pada kedudukan yang lebih rendah berbanding Malaysia.
Skuad kebangsaan kini sedang melakukan persiapan menjelang sepak mula berdepan Kepulauan Solomon dan Papua New Guinea.
Mengulas lanjut, pengendali kelahiran Korea Selatan itu yakin dapat mengekalkan rekod baik di laman sendiri di samping fokus utamanya adalah untuk memperbaiki aspek taktikal skuad negara.
Malah, beliau juga mahu mengambil cabaran fizikal bertemu negara Ocenia ini sebagai satu medan untuk menguji kemampuan sebenar Harimau Malaya.
Sungguhpun pemilihan saat akhir Malaysia bertukar apabila Yemen menarik diri, Pan-gon tetap optimis dengan perancangan pasukan sehingga ke tahap ini.
“Kita bertemu dengan satu pasukan yang lebih rendah dan satu pasukan yang lebih tinggi. Secara strateginya, kita mahu memperbaiki pasukan dan mencatatkan kemenangan untuk memperbaiki kedudukan skuad negara.” jelasnya kepada FAM.
Malaysia juga tidak membawa beberapa tonggak utama seperti Dion Cools dan Syafiq Ahmad namun kemunculan semula muka baharu dijangka mampu memberi nilai tambah kepada pasukan.
Aksi skuad negara akan berlangsung di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Terengganu pada 14 dan 20 Jun ini.