Kim Pan-gon: Harimau Malaya Sudah Mula Menunjukkan Karakter Sebenar

Kim Pan gon 11 Kim Pan-gon: Harimau Malaya Sudah Mula Menunjukkan Karakter Sebenar
AzriHaziq/MakanBola

Ketua jurulatih Harimau Malaya, Kim Pan-gon gembira dengan prestasi yang ditampilkan para pemain ketika aksi pertama saingan Kumpulan E antara pasukan Malaysia dan Turkmenistan semalam. Perlawanan tersebut menyaksikan Malaysia meraih tiga mata menewaskan Turkmenistan 3-1.

Pengendali dari Korea Selatan itu mengakui ia merupakan satu momen indah buat dirinya. Beliau juga teruja dengan sokongan seramai 21,591 ribu para penyokong yang berkunjung ke stadium memberikan sokongan buat Harimau Malaya.

“Terima kasih kepada peminat bola sepak Malaysia dan Ultras Malaya, memberikan sokongan yang padu kepada pasukan Harimau Malaya. Saya juga berbangga dengan semua pemain Harimau Malaya, mereka berjaya memberi sedikit kegembiraan dan kebangaan buat rakyat Malaysia.”

“Saya tidak meletakkan harapan besar kepada para pemain untuk perlawanan ini, tetapi mereka telah memberikan 120% komitmen ketika di atas padang. Harimau Malaya sudah mula menunjukkan karakter sebenar,” ujar Kim Pan-gon ketika sesi sidang media pasca perlawanan semalam.

Skuad kendalian Kim Pan-gon kini mengungguli carta saingan Kumpulan E bagi kempen kelayakan Piala Asia 2023. Perlawanan seterusnya menyaksikan Malaysia bakal menentang pasukan dari Bahrain pada Sabtu kelak di Stadium Nasional Bukit Jalil.